![]() |
| Foto FB Warta USNO |
Keputusan tersebut dimaklumkan secara rasmi ketika pertemuan beliau bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS, pada 21 April lalu.
Susulan itu, Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO pada 22 April 2026 sebulat suara menyokong keputusan untuk menarik diri daripada GRS.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Warta USNO, antara faktor utama keputusan itu adalah ketiadaan keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan, khususnya selepas Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU-DUN) Sabah ke-17.
USNO dalam masa sama menegaskan pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi tempatan Sabah, selain komited memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam landskap politik negeri.
“USNO merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GRS serta semua rakan komponen atas kerjasama sebelum ini, dan akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang terpinggir,” menurut kenyataan itu.
Langkah tersebut dilihat bakal memberi impak terhadap dinamik politik Sabah menjelang PRN akan datang, susulan perubahan jajaran dalam kalangan parti tempatan.
Susulan keluarnya USNO, komposisi GRS kini terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
