![]() |
| Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. |
TAWAU: Tindakan pantas polis berjaya menahan tiga remaja lelaki kurang 24 jam selepas menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan di Merotai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semua suspek berusia antara 15 hingga 16 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai kira-kira jam 6.50 petang di perkarangan Pondok Polis Merotai.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima daripada ibu mangsa sekitar jam 4.43 petang pada hari sama.
“Kes terbongkar apabila mangsa, pelajar tingkatan tiga, menceritakan kejadian yang dialaminya kepada guru kaunseling sebelum dimaklumkan kepada ibunya.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Ahad lalu apabila mangsa dibawa seorang suspek yang juga pelajar tingkatan lima menaiki kereta ke sebuah rumah sebelum dirogol," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua lagi rakan suspek turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.
“Mangsa juga mendakwa dia sering dimalukan dan diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah.
"Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.
Jasmin menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah seksual, termasuk mereka yang bersubahat.
“Kes ini dipandang serius dan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh. Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan pelaku dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak, terutama di luar waktu persekolahan.
“Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak dan mengetahui latar belakang rakan mereka.
“Kerjasama erat antara keluarga, sekolah dan masyarakat amat penting dalam membendung gejala sosial sebelum menjadi lebih serius,” katanya.
