Bantuan tanpa kira status, mangsa jangan takut mendaftar - PM Anwar

Foto : Bernama

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan semua mangsa kebakaran Kampung Bahagia akan menerima bantuan tanpa mengira status kewarganegaraan, sekali gus menegaskan mereka tidak perlu takut untuk tampil mendaftar.

Anwar berkata, kerajaan memahami kebimbangan segelintir mangsa yang tidak tampil kerana bimbang dikenakan tindakan, namun situasi semasa menuntut keutamaan diberikan kepada aspek kebajikan dan keselamatan.

“Ini bukan masa untuk kita kuatkuasakan undang-undang secara ketat. Keutamaan sekarang adalah memastikan kebajikan semua mangsa terpelihara.

“Ada yang tidak mendaftar kerana takut, tetapi saya beri jaminan, bantuan tetap disalurkan dan mereka tidak perlu bimbang untuk tampil,” katanya ketika ditemui selepas meninjau mangsa di sini, hari ini. 

Menurutnya, bantuan tunai sebanyak RM1,500 bagi setiap keluarga disediakan oleh kerajaan Persekutuan, termasuk tambahan RM500 daripada Jabatan Perdana Menteri.

"Jumlah itu melengkapi sumbangan RM1,000 daripada kerajaan negeri Sabah dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah, menjadikan keseluruhan bantuan RM3,500 kepada setiap keluarga terjejas," katanya. 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penyelesaian jangka panjang seperti perumahan tetap akan memberi keutamaan kepada warganegara, selaras dengan dasar sedia ada.

Dalam pada itu, Anwar turut mengarahkan agar pelajar yang terjejas kembali ke sekolah dengan segera walaupun tanpa kelengkapan penuh.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan bantuan RM300 kepada setiap murid warganegara yang terjejas, membabitkan 454 pelajar dari 12 sekolah.

Bagi membantu mangsa mendapatkan semula dokumen penting, katanya, Jabatan Pendaftaran Negara akan menyediakan perkhidmatan bergerak di lokasi terjejas, termasuk bagi penggantian sijil kelahiran, MyKad dan MyKid secara percuma.

"Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia turut membantu proses penggantian pasport yang musnah dalam kebakaran.

“Saya sudah arahkan supaya urusan pendaftaran dipermudah dan dipercepatkan. Semua rekod akan dipastikan lengkap, termasuk bagi mereka yang bukan warganegara.

“Kita akan tanggung kos, tidak perlu bayar,” katanya.

Beliau berkata, perancangan pembangunan semula kawasan terjejas akan dibincangkan bersama kerajaan negeri Sabah bagi memastikan pendekatan lebih menyeluruh dan berkesan.

Katanya, keputusan itu perlu dibuat secara teliti memandangkan projek berkenaan membabitkan skala besar serta implikasi dasar negeri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama