UNK 2026: Dr Mary Gambidau Dilantik Pengerusi, Joanna Kitingan Penasihat

Dr Mary Gambihau, berasal dari Telupid. 

KOTA KINABALU: Dr Mary Gambidau dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 (UNK 2026) yang bakal disambut bulan Mei ini.

Jawatankuasa UNK Peringkat Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan beliau dilihat sebagai langkah memperkukuh kedudukan Unduk Ngadau Kaamatan sebagai platform penting dalam memelihara, memperkasa dan mengangkat warisan budaya masyarakat tempatan.

“Pelantikan itu turut menekankan peranan wanita muda sebagai pewaris tradisi serta pemimpin masa hadapan komuniti.

“Seiring pelantikan itu, Joanna Datuk Kitingan dilantik sebagai Penasihat UNK 2026 bagi memberikan panduan strategik serta sokongan kepimpinan kepada jawatankuasa penganjur,” katanya.

Beliau turut membentuk Jawatankuasa Induk yang dianggotai Mandy Nandu sebagai Timbalan Pengerusi, Audrey Wilson Rantau sebagai Setiausaha dan Maureen J. Kananong sebagai Bendahari, bersama barisan ahli jawatankuasa berpengalaman bagi memperkukuh tadbir urus penganjuran tersebut.

“Persiapan bagi penganjuran UNK 2026 telah dimulakan sejak Februari lalu, termasuk pelaksanaan penilaian awal finalis selaras mandat Jawatankuasa Pusat Kadazandusun Cultural Association (KDCA) bagi meningkatkan profesionalisme, ketelusan serta kualiti dalam proses pemilihan peserta,” jelasnya.

Kemuncak Unduk Ngadau Kaamatan 2026 dijadual berlangsung dari 26 hingga 31 Mei ini, menghimpunkan seramai 52 finalis dari seluruh Sabah termasuk peserta yang menetap di Semenanjung Malaysia.

Sepanjang minggu berkenaan, pelbagai program rasmi, aktiviti kebudayaan, sesi penilaian serta inisiatif pembangunan jati diri akan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pihak penganjur turut mengesahkan Hilton Kota Kinabalu dipilih sebagai hotel rasmi bagi penganjuran edisi tahun ini,” tambahnya.

Penganjuran UNK 2026 diyakini terus berperanan sebagai platform berprestij dalam memelihara serta memartabatkan warisan budaya, di samping memperkasa peranan wanita dan memperkukuh identiti masyarakat Sabah di peringkat nasional.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama