SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna merampas 1,725 liter minyak disyaki petrol bersama sebuah bot laju dalam satu serahan kes daripada Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, semalam.
Menurut kenyataan KPDN Sabah menerusi Facebook rasminya, serahan berkenaan turut melibatkan peralatan berkaitan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM17,675.75.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa akan diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti tidak sah dapat dibanteras secara berkesan,” menurut kenyataan itu.
