Sindiket scam antarabangsa tumpas, 80 ditahan dekat resort dijadikan pusat operasi

SUSPEK dibawah ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman. Foto | SS.

TAWAU : Taktik licik sindiket penipuan dalam talian yang menjadikan sebuah resort di sini sebagai ‘markas’ operasi terbongkar selepas diserbu polis dalam operasi bersepadu, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 9.20 malam itu, seramai 80 individu disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan berjaya ditahan.

Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Tawau, Sandakan dan Keningau.

Menurut sumber, tangkapan membabitkan 78 warga China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos berusia antara 17 hingga 46 tahun.

Sindiket berkenaan dipercayai memasuki Sabah sejak tiga bulan lalu dan menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian dengan menyamar sebagai anggota polis dari China.

Difahamkan, sasaran utama sindiket itu adalah warga Amerika Syarikat berketurunan Cina yang berada di negara berkenaan.

Lokasi serbuan dipercayai dijadikan pusat operasi merangkumi tempat kerja, latihan serta premis kediaman dan tempat rehat.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas telefon bimbit, komputer, skrip, beg, pasport, sepanduk, modem serta pakaian seragam polis China.

Dalam perkembangan sama, seramai 77 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman, manakala tiga lagi yang sedang menerima rawatan di hospital turut dibenarkan direman selama tiga hari.

Permohonan reman selama tiga hari yang dikemukakan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Siti Dayana Adillah, telah dibenarkan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Bagaimanapun, enam daripada suspek termasuk seorang warga Laos dibebaskan namun dikehendaki membantu siasatan lanjut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama