Tular pergaduhan di Paitan, enam lelaki warga Pakistan ditahan


BELURAN: Video pergaduhan sekumpulan lelaki warga Pakistan yang tular di media sosial membawa kepada penahanan enam individu dalam kejadian di Kampung Kubambangan, Paitan, di sini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu semalam kira-kira jam 6.49 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan berkenaan berlaku lebih awal pada hari sama sekitar jam 4 petang membabitkan sekumpulan lelaki warga Pakistan.

“Difahamkan, kumpulan suspek datang berjumpa mangsa yang juga warga Pakistan di kaki lima sebuah kedai runcit sebelum berlaku pertengkaran akibat salah faham seperti yang tular dalam video berkenaan.

“Pergaduhan kemudian tercetus sehingga menyebabkan mangsa cedera di kepala dan menerima tujuh jahitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, enam lelaki yang disyaki terbabit ditahan pada hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, permohonan reman akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. 

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama