Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi bersepadu itu dijalankan di tiga lokasi berasingan dengan penglibatan seramai 28 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Sandakan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas 95 individu, seramai 49 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Daripada jumlah itu, 13 adalah lelaki dewasa, 15 perempuan dewasa, 14 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan yang terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan Pakistan.
“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi atau menggaji PATI.
“Kita juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.
