![]() |
| Seramai 74 individu disyaki ahli sindiket penipuan dalam talian di bawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk permohonan lanjutan reman. Foto | SS |
TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan lanjutan reman terhadap 74 individu disyaki ahli sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di sebuah resort di sini, sehingga 13 dan 14 April depan.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat kes, Inspektor Siti Dayana Adillah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Terdahulu, kesemua suspek dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ke Mahkamah Majistret dengan menaiki dua buah lori kira-kira jam 8.30 pagi bagi proses permohonan lanjutan reman.
Proses permohonan reman mengambil masa kira-kira empat jam dengan prosiding dikendalikan menggunakan jurubahasa Mandarin bagi memudahkan komunikasi antara mahkamah, polis dan orang yang disyaki (OYDS).
Siti Dayana dalam permohonannya berkata, lanjutan reman diperlukan bagi melengkapkan rakaman keterangan OYDS berikutan kekangan komunikasi, apabila majoriti suspek hanya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dan tidak memahami Bahasa Malaysia, manakala hanya seorang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
Media sebelum ini melaporkan, polis menyerbu sebuah resort di sini kira-kira jam 9.20 malam Selasa lalu dan berjaya membongkar kegiatan sindiket yang berselindung di sebalik operasi premis berkenaan, dengan penahanan 80 individu membabitkan 78 warga China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos, berusia antara 17 hingga 46 tahun.
Serbuan dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Tawau, Sandakan dan Keningau.
Sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai anggota polis dari China, menyasarkan warga Amerika Syarikat berketurunan Cina sebagai mangsa utama.
Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, pasport, modem, sepanduk serta pakaian seragam polis China.
