Tular maki bomba, mangsa kebakaran tampil mohon maaf

SANDAKAN: Seorang mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, di sini tampil memohon maaf secara terbuka selepas videonya memaki anggota bomba ketika kejadian tular di media sosial.

Lelaki dikenali sebagai Rozaizar itu mengakui dirinya tidak dapat mengawal emosi ketika berdepan detik cemas kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran besar berkenaan.

“Saya mohon maaf kepada warga bomba yang bertugas pada hari kejadian. Emosi saya tidak terkawal hingga mengeluarkan kata-kata tidak baik dan saya tarik balik semua perkataan itu,” katanya dalam rakaman video permohonan maaf.

Menurutnya, beliau memahami pengorbanan anggota bomba yang bertungkus-lumus memadam kebakaran demi membantu mangsa.

“Saya faham mereka bekerja keras dan banyak berkorban untuk masyarakat di Sandakan. Saya manusia biasa dan sekali lagi memohon maaf,” katanya.

Rozaizar turut meminta orang ramai agar tidak lagi memperbesarkan isu berkenaan serta memahami keadaan mangsa ketika berdepan tragedi.

“Saya terima segala kecaman dengan hati terbuka, namun saya harap perkara ini tidak diperbesarkan lagi,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Ahad lalu, hampir 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran besar di Kampung Bahagia, menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.

Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, operasi memadam kebakaran mengambil masa hampir 11 jam berikutan pelbagai cabaran termasuk laluan sempit dan keadaan air laut surut.

“Struktur rumah yang rapat serta angin kencang menyebabkan api cepat merebak, selain kesukaran mendapatkan sumber air,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama