JPDS kutip lebih RM40 juta tahun lalu, bukti kecekapan sektor maritim Sabah

Ewon (dua dari kiri), melancarkan Majlis APC JPDS, turut kelihatan Jonnybone (tengah), Thomas (dua dari kanan) Maswandie (kiri) dan Moira (kanan).

LABUAN: Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) berjaya mencatat kutipan hasil negeri melebihi RM40 juta pada tahun 2025, sekali gus membuktikan peranan signifikan sektor maritim dalam menyumbang kepada ekonomi Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian itu mencerminkan kecekapan serta dedikasi warga jabatan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menurutnya, JPDS berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM40,763,969.76 sepanjang tahun lalu.

“Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan kecekapan jabatan dalam pengurusan kutipan hasil, tetapi juga membuktikan JPDS merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi negeri, khususnya dalam sektor maritim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi Tahun 2025 Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah di Hotel Tiara, di sini.

Sementara itu, Ewon turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut selari dengan semangat ‘Sabah First’ yang menekankan kepentingan pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

“Apabila kita memberi fokus kepada pembangunan Sabah, hasilnya akan kembali memberi manfaat kepada negeri dan rakyat,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JPDS atas komitmen serta kerjasama yang telah digembleng sehingga mencapai prestasi membanggakan tersebut.

Beliau berharap momentum kecemerlangan itu dapat diteruskan dengan memperkukuh budaya kerja berintegriti serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 23 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta tiga penerima Anugerah Khas Pengarah sebagai penghargaan atas prestasi dan sumbangan mereka.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama