Gagal hadir ke mahkamah, ahli sindiket scam dikenakan syarat jaminan lebih ketat

Sebahagian daripada 80 tertuduh disyaki ahli sindiket penipuan 'scammer' dibawa keluar dari bilik bicara sejurus prosiding semakan jaminan di Mahkamah Tinggi Tawau, pagi ini selesai. Foto | SS


TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memperketat syarat jaminan terhadap 80 tertuduh yang didakwa terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian selepas sebahagian daripada mereka termasuk penjamin masing-masing gagal hadir ke prosiding mahkamah, di sini pagi ini. 

Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos membenarkan sebahagian permohonan semakan yang dikemukakan pihak pendakwaan dengan mengenakan beberapa syarat tambahan terhadap kesemua tertuduh bagi memastikan kehadiran mereka sepanjang prosiding berjalan.


Antara syarat baharu yang diperintahkan ialah semua tertuduh diwajibkan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau setiap dua minggu sehingga kes selesai.


Mahkamah turut mengarahkan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan terhadap penjamin yang gagal memastikan kehadiran tertuduh, dan mereka dikehendaki hadir ke mahkamah pada 25 Mei depan.


Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan jumlah jaminan RM3,500 dengan dua penjamin tempatan seperti diputuskan Mahkamah Majistret sebelum ini.


Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa 35 daripada 80 tertuduh gagal hadir ke mahkamah walaupun telah dibenarkan jaminan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan syarat jaminan sedia ada.


Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif bersama Shearil Aizad Murnizam turut menghujahkan bahawa kegagalan kehadiran bukan sahaja membabitkan tertuduh, malah penjamin mereka juga tidak hadir, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keupayaan jaminan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.


Pendakwaan turut membangkitkan bahawa kesemua tertuduh memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong, dengan majoriti merupakan kali pertama berada di Malaysia, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap hubungan tempatan yang dikemukakan bagi tujuan jaminan.


Pada 15 April lalu, Mahkamah Majistret membenarkan kesemua 80 tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan dua penjamin tempatan selepas mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pakatan jenayah.


Kesemua mereka terdiri daripada 78 warga China termasuk empat wanita, seorang warga Myanmar dan seorang warga Laos.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama atas pertuduhan terbabit dalam pakatan jenayah penipuan dalam talian, dengan menyamar sebagai anggota polis China bagi memperdaya mangsa melalui panggilan telefon dan video di sebuah premis di Tawau sebagai markas operasi pada 7 April lalu. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama