Tular harga LPG naik, KPDN sahkan bukan gas subsidi

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa isu kenaikan harga LPG yang tular di media sosial baru-baru ini tidak melibatkan gas bersubsidi untuk kegunaan domestik.

Sebaliknya, isu tersebut hanya melibatkan LPG dalam silinder komersial yang digunakan untuk tujuan perniagaan dan industri, yang tidak menerima subsidi kerajaan.

KPDN dalam satu kenyataan memakluman, kekeliruan dalam kalangan orang awam berpunca daripada perkongsian tidak tepat di media sosial yang mengaitkan kenaikan harga tersebut dengan LPG subsidi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan pengesahan,” katanya.

KPDN turut menegaskan bahawa tindakan segera telah diambil dengan memanggil syarikat terlibat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pelarasan harga berkenaan.

“Walaubagaimanapun, satu tindakan segera telah diambil bagi memanggil pihak syarikat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan bersandarkan perundangan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),” tegasnya.

KPDN turut menegaskan bahawa sebarang kenaikan harga bagi barangan kawalan termasuk LPG perlu dirujuk terlebih dahulu kepada kementerian bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyalahgunaan LPG subsidi kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil,” tambahnya.

Terdahulu, satu notis pelarasan harga LPG yang memaparkan kenaikan sehingga RM14 setong tular di Facebook, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna mengenai kemungkinan kenaikan harga gas di pasaran.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama