Tiga warga asing ditahan, disyaki rogol remaja hingga hamil

 

TAWAU: Tiga lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang remaja di daerah ini, hari ini.

Penahanan itu susulan laporan dibuat keluarga mangsa selepas remaja berkenaan disahkan hamil.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kes terbongkar apabila mangsa mengadu mengalami kesakitan pada bahagian kemaluan sebelum dibawa kakaknya ke hospital untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati remaja itu hamil. Mangsa kemudian mengaku kepada kakaknya bahawa dia pernah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki yang dikenalinya di sebuah hotel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan laporan polis yang dibuat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau melancarkan operasi dan berjaya menahan dua suspek pertama di tepi Jalan St Patrick. Kedua-dua suspek merupakan lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing berusia 29 tahun di hadapan sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas.

“Suspek ketiga bekerja sebagai buruh kilang,” katanya.

Menurut ACP Jasmin, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama