Tragedi pagi di Merotai, pertembungan dua kereta ragut satu nyawa

TAWAU: Perjalanan pagi bertukar tragedi apabila seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Merotai ke Tawau berhampiran Merotai Kecil, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, sebuah Perodua Viva dan Proton Saga dilaporkan bertembung di laluan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi sebelum sembilan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi sejauh 44 kilometer.

“Pasukan bomba tiba pada jam 8.18 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan dengan dua mangsa wanita terlibat.

“Mangsa dari Proton Saga, Widiyana Hasan, 36, mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, seorang lagi mangsa, Jumahira Ramlan, 39, yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan segera dengan penggunaan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa, di samping memastikan kawasan kejadian selamat daripada sebarang risiko termasuk kebakaran.

“Pasukan turut melakukan pemeriksaan menyeluruh serta pembersihan serpihan kemalangan di atas jalan bagi mengelakkan bahaya kepada pengguna lain. 

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.04 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama