KOTA KINABALU: Lelaki yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah di pusat beli-belah 1 Borneo, di sini, bulan lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tertuduh, Mohd Nico Ansboy membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
“Kes berkenaan didaftarkan di Mahkamah Sesyen 7 dan mahkamah menetapkan 30 April ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pra-perbicaraan.
“Tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin, namun pihak peguam memohon sebutan semula pada 6 April ini bagi permohonan ikat jamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebelum itu, lelaki terbabit ditahan sepasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam Ops Cegah Jenayah di kawasan 1 Borneo, Jalan Sulaman pada 15 Mac lalu, kira-kira jam 3 petang.
“Ketika ditahan, suspek berada dalam keadaan mencurigakan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen sah.
Katanya, beberapa individu berkaitan turut dipanggil untuk dirakam percakapan, selain semakan lanjut dilakukan termasuk mendapatkan laporan daripada Jabatan Imigresen Malaysia serta pemeriksaan forensik pergigian bagi menentukan umur sebenar tertuduh.
“Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Mac lalu sebelum arahan tuduh diperoleh,” katanya.
Sehubungan itu, Kasim menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta prosiding mahkamah yang sedang berjalan.
