Sabah teroka sumber baharu, angkat potensi produk tempatan

Masidi (tengah) ketika mengadakan mesyuarat bersama Institute for Development Studies Sabah, di sini.


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi fokus kepada usaha meneroka sumber pendapatan baharu bagi memperkukuh ekonomi negeri serta mengurangkan kebergantungan kepada hasil tradisional.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan ekonomi negeri lebih berdaya tahan dan mampan dalam jangka panjang.

Beliau menekankan bahawa produk tempatan Sabah mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri.

“Produk tempatan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dan perlu diberi sokongan berterusan agar mampu bersaing di pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Institute for Development Studies Sabah yang membincangkan hala tuju pembangunan serta strategi ekonomi negeri, di sini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Penyelidikan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Victor Sikain, bersama rombongan kakitangan IDS.

Dalam pada itu, Masidi turut menegaskan kepentingan penggunaan data dan penyelidikan dalam merangka dasar yang berkesan demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Tambah beliau, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan IDS Sabah perlu terus diperkasa bagi memastikan setiap dasar yang dirangka memberi impak menyeluruh kepada rakyat.

Dalam mesyuarat berkenaan, IDS Sabah membentangkan cadangan berkaitan mekanisme pelaksanaan serta sumber pendapatan baharu yang boleh diterokai kerajaan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Ramzah Dambul berkata, pembentangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri, termasuk memperkasa pengurusan aset secara strategik dan meneroka sektor berimpak tinggi.

Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan Sabah tidak terlalu bergantung kepada sumber hasil tradisional, sebaliknya mampu membina asas ekonomi yang lebih kukuh.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama