Titian Pulau Gaya bakal dibina semula, PM lulus peruntukan segera RM300,000

 

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datu Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan khas RM300,000 bagi membina semula titian pejalan kaki di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah, susulan insiden roboh yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk.

Insiden yang berlaku pada 22 Mac lalu itu mengakibatkan beberapa penduduk terjatuh ke laut ketika kunjungan Aidilfitri.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kelulusan segera oleh Perdana Menteri mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat.

Katanya, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan serta pembangunan infrastruktur yang lebih inklusif.

“Peruntukan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula titian yang lebih kukuh dan selamat bagi menggantikan struktur lama yang uzur,” katanya.

Menurutnya, kerajaan komited untuk memastikan tiada komuniti terpinggir daripada menikmati kemudahan asas yang selamat.

“Pelaksanaan projek akan dipantau oleh ICU JPM Negeri Sabah bagi memastikan ia siap segera demi kemudahan penduduk setempat,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama