KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar
(BALB) Sabah disegerakan melalui pendekatan dua hala dengan meneruskan projek
jangka panjang di samping melaksanakan sistem alternatif yang lebih cepat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang
berkata, langkah itu penting untuk memastikan rakyat di kawasan pedalaman dan
pulau mendapat akses kepada bekalan air bersih tanpa perlu menunggu terlalu
lama.
“Rakyat memerlukan bekalan air bersih segera dan kita tidak
boleh bergantung sepenuhnya kepada projek jangka panjang yang mengambil masa
bertahun-tahun untuk disiapkan.
"Bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri akan
memperluas penggunaan sistem alternatif seperti paip graviti, telaga tiub dan
pam air berkuasa solar.
"Pendekatan alternatif tersebut mampu disiapkan dalam
tempoh singkat iaitu satu hingga enam bulan dengan jangkaan kos kurang daripada
RM3 juta bagi setiap projek," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa
Tertinggi (HLC) Perlaksanaan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Bilik Mesyuarat
KPLB, pada Jumaat.
HLC ditubuhkan
sebagai menyahut saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi yang menyerahkan pelaksanaan 83 projek BALB bernilai RM4.06 bilion
kepada kerajaan negeri.
Menurut Rubin, semua projek BALB di bawah Rancangan Malaysia
Ke-11 (RMK-11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan diteruskan termasuk
projek Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Ketika ini projek terbabit berada pada tiga peringkat iaitu
telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan akan dilaksanakan.
"Sebahagian projek dikenal pasti berdepan masalah
antaranya isu pengambilan tanah dan kelemahan pihak perunding yang menyebabkan
kelewatan," ujarnya.
Di samping itu, beliau memaklumkan kerajaan Persekutuan juga
memberi penurunan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek
termasuk yang bernilai tinggi tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.
“Langkah ini akan mempercepat proses perolehan, pelantikan
kontraktor dan pelaksanaan projek supaya manfaat dapat dinikmati rakyat dengan
lebih segera,” tambahnya.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
