![]() |
| Nizam ketika bergambar bersama pemenang cabutan bertuah hadiah utama pada program berkenaan, di sini, hari ini. |
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran program itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membantu golongan memerlukan.
“Program ini bukan sahaja menerapkan budaya hidup sihat melalui aktiviti larian, tetapi turut mengumpul dana untuk disumbangkan kepada Persatuan Thalassemia Sabah.
“Ia satu usaha yang baik kerana selain bersukan, kita juga dapat membantu pesakit yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program berkenaan, di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.
Katanya, penganjuran program seumpama itu selaras dengan aspirasi kementeriannya untuk menjadikan sukan komuniti sebagai budaya dalam kalangan masyarakat Sabah.
“Kita mahu sukan seperti ini diamalkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, di samping membangunkan sukan berprestasi tinggi di negeri ini,” jelasnya.
Menurutnya, sambutan memberangsangkan terhadap program tersebut membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan semakin meningkat.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa program itu akan dijadikan acara tahunan dan pihaknya akan memberi sokongan penuh bagi menjayakannya.
“Mudah-mudahan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi contoh kepada kelab serta NGO lain untuk turut menganjurkannya,” ujar beliau.
