![]() |
| Mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira jam 6.30 pagi pada jarak 2.1 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang. |
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Purak Ogis Supuan di sini, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, mangsa, Fernandez Anak Sawing @ Andin, 33 ditemui oleh orang awam kira-kira jam 6.30 pagi di sungai berkenaan pada jarak 2.1 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan anggota bomba dengan bantuan PDRM serta penduduk kampung yang turut membantu dalam usaha pencarian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak semalam ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.35 pagi selepas tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” jelasnya.
Sebelum ini, operasi SAR ditangguhkan pada malam Selasa sekitar jam 8.15 malam akibat faktor cuaca dan disambung semula pada awal pagi tadi sebelum mangsa ditemui.
