TAWAU: Tiga remaja lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes jenayah seksual membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai berlaku dalam beberapa kejadian berasingan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua suspek berusia 14 dan 17 tahun ditahan kira-kira jam 11.50 pagi semalam di Kampung Jawa oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menurutnya, seorang lagi suspek berusia 17 tahun diberkas dalam tangkapan susulan kira-kira jam 1.45 petang pada hari sama di perkarangan IPD Tawau.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada Sabtu lalu berhubung dakwaan kejadian jenayah seksual terhadap mangsa.
“Kejadian dipercayai berlaku di beberapa lokasi sekitar daerah ini sejak November tahun lalu hingga Februari tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian dengan suspek berbeza, termasuk di kawasan kediaman dan premis awam.
Katanya, seorang lagi individu turut disiasat berhubung satu kejadian berasingan di sebuah sekolah, di mana mangsa dipercayai dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Jasmin berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan semua pihak terlibat sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan.
