![]() |
Rizuan Umar, 27, bersama peguamnya Kamarudin Mohmad Chinki, di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini. Foto | SS. |
TAWAU : Lelaki warga Filipina menarik nafas lega apabila terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh seorang lelaki, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos membuat keputusan itu terhadap Rizuan Umar, 27, tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Rizuan yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Zamboanga didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati wujud percanggahan ketara antara keterangan saksi dan laporan bedah siasat.
Mahkamah turut memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan elemen penting bahawa punca kematian mangsa adalah akibat perbuatan tertuduh.
Sepanjang perbicaraan yang bermula awal Januari lalu, seramai 16 saksi dipanggil memberi keterangan berhubung kematian Sammah Hasan, 54.
Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 10 April 2022 di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tradisi Felda Sahabat 16, Lahad Datu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.
.png)