KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengesahkan telah menghantar surat tuntutan rasmi kepada Putrajaya bagi mendesak bayaran Pemberian Khas 40 peratus untuk tahun semasa, selain tunggakan bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Perkara itu dimaklumkan Pembantu Menteri Kewangan Sabah I, Datuk Chong Chen Bin @ Ben Chong ketika menjawab soalan ADUN Sekong, Alias Sani, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Menurutnya, tuntutan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 April lalu yang menangguhkan pelaksanaan hak Sabah bagi tempoh ‘lost years’ dari 1974 hingga 2021.
“Kerajaan Sabah melalui surat bertarikh 10 April 2026 telah menggesa Kerajaan Persekutuan membuat bayaran Pemberian Khas bagi tahun 2022 hingga 2025 serta tahun semasa,” katanya.
Beliau menegaskan, pendirian Sabah kekal tegas untuk mendapatkan hak penuh seperti termaktub di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Ben Chong memaklumkan rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan masih berjalan, termasuk proses perkongsian data hasil yang diperoleh di Sabah sejak 1974.
Katanya, data berkenaan merangkumi pelbagai komponen termasuk cukai langsung oleh LHDN, cukai tidak langsung oleh Jabatan Kastam, hasil bukan cukai serta hasil petroleum.
Menurutnya, bagi tahun 2025, jumlah kutipan cukai langsung dan tidak langsung di Sabah direkodkan sebanyak RM7.547 bilion, manakala anggaran 40 peratus Pemberian Khas adalah sekitar RM3.019 bilion.
“Kerajaan Sabah sebelum ini juga mencadangkan supaya komponen hasil yang tidak dipertikaikan dibayar dahulu sebagai bayaran interim, sementara baki yang masih dirunding dimuktamadkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata, bayaran interim RM600 juta bagi tahun 2026 perlu disemak semula agar selaras dengan formula 40 peratus yang dituntut negeri itu.
"Sabah tidak akan berkompromi dalam soal hak hasil negeri.
“Walaupun terdapat penangguhan oleh mahkamah, proses rundingan akan terus berjalan dan Sabah tetap berpendirian menuntut apa yang menjadi hak mutlak negeri ini,” katanya.
