![]() |
| Jafry(tengah) ketika merasmikan tiga inisiatif utama penyu di SICC, pada Selasa. |
KOTA KINABALU: Sabah melakar satu lagi langkah penting dalam usaha memulihara biodiversiti marin dengan melancarkan tiga inisiatif utama berkaitan penyu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, inisiatif berkenaan merangkumi Pelan Tindakan Penyu Sabah, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pusat penetasan penyu, serta kempen perubahan tingkah laku berkaitan pengambilan telur penyu.
Menurutnya, pelaksanaan Pelan Tindakan Penyu Sabah merupakan langkah signifikan dalam melindungi spesies marin ikonik negeri ini yang kini diklasifikasikan sebagai dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
“Sebarang kesalahan melibatkan spesies ini boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta hukuman penjara antara satu hingga lima tahun,” katanya dalam ucapan pelancaran rasmi pelan itu, pada Selasa lalu.
Beliau menegaskan bahawa usaha pemuliharaan tidak hanya tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya memerlukan kesedaran, tanggungjawab dan tindakan kolektif semua pihak.
“Pelan ini menjadi panduan menyeluruh kepada semua pemegang taruh dalam menyelaras usaha perlindungan penyu secara lebih berkesan, termasuk melalui program kesedaran awam bagi mengubah tingkah laku yang mengancam spesies ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jafry berkata, pengenalan SOP bagi pusat penetasan penyu pula bertujuan memastikan pengurusan program berkenaan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berasaskan pendekatan saintifik.
Katanya, garis panduan itu memberi keutamaan kepada kebajikan haiwan di samping memastikan objektif pemuliharaan tidak terjejas.
“Amalan terbaik ini bukan sahaja memperkukuh hasil pemuliharaan, malah meningkatkan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan lestari,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kempen perubahan tingkah laku yang dilancarkan turut memainkan peranan penting dalam menangani isu pengambilan telur penyu yang masih berlaku.
“Kempen ini menyeru semua pihak untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran masyarakat dan mengubah persepsi terhadap amalan tersebut.
“Dengan mengurangkan permintaan, kita dapat membanteras penyeludupan telur penyu, melindungi biodiversiti marin serta memperkukuh imej Sabah sebagai destinasi ekopelancongan utama,” katanya.
Beliau turut menggesa sokongan pelbagai agensi termasuk pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan serta media bagi memastikan mesej kempen dapat disampaikan secara meluas kepada masyarakat.
Dalam ucapannya, Jafry turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah serta rakan strategik termasuk institusi penyelidikan dan pertubuhan bukan kerajaan atas komitmen berterusan dalam usaha pemuliharaan penyu.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan warisan semula jadi negeri ini terus terpelihara untuk generasi akan datang,” tambah beliau.
