Polis tahan lelaki bersama syabu di Batu 4 Jalan Apas

 

TAWAU: Tindakan mencurigakan seorang lelaki membawa kepada penahanannya bersama dadah disyaki syabu dalam rondaan cegah jenayah di Batu 4, Jalan Apas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu melibatkan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) bersama Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang sedang menjalankan rondaan.

Menurutnya, dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek pertama berusia 30 tahun dilihat gelisah sebaik anggota polis memperkenalkan diri sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

“Hasil pemeriksaan, suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 12.58 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Dalam kejadian sama, seorang lagi lelaki berusia 26 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang bahan terlarang ke atas suspek kedua.

“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau untuk ujian saringan air kencing, namun keputusan adalah negatif sebelum dia dibebaskan,” jelasnya.

Jasmin menegaskan pihak polis akan terus mempergiat rondaan cegah jenayah terutama di kawasan ‘hotspot’ bagi mengekang aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi aktiviti dadah kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama