Sabah lancar pusat jagaan harian warga emas

Julita melawat salah seorang penghuni Rumah Warga Tua Sri Harapan.

SANDAKAN: Kerajaan Negeri memperkenalkan model penjagaan warga emas berasaskan komuniti menerusi pelaksanaan Program Merpati bagi membantu keluarga bekerja sambil memastikan golongan berkenaan terus aktif dan berinteraksi secara sosial. 

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, program yang dikenali sebagai Pusat Jagaan Harian Warga Emas itu menyediakan perkhidmatan penjagaan siang khusus untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Menurutnya, antara perkhidmatan disediakan termasuk pemantauan harian, penyediaan makanan, pemeriksaan kesihatan asas serta aktiviti berstruktur seperti interaksi sosial dan senaman ringan sebelum mereka pulang ke rumah pada penghujung hari.

“Program ini memberi sokongan praktikal kepada keluarga tanpa perlu menempatkan warga emas dalam penjagaan institusi sepenuh masa.

“Ia berfungsi seperti pusat jagaan harian di mana keluarga boleh menghantar ibu bapa mereka pada waktu pagi dan membawa pulang pada waktu petang,” katanya ketika merasmikan program itu serta melancarkan logo Merpati di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; serta Setiausaha Tetap KWKKR, Maria Chong.

Program berkenaan dilaksanakan di Rumah Warga Tua Sri Harapan dan Rumah Warga Tua Air Panas, sekali gus menandakan pelaksanaan sulungnya di Sabah di bawah inisiatif Santunan Prihatin Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

Julita berkata, kadar bayaran ditetapkan sekitar RM10 sehari, manakala penginapan bermalam ditawarkan pada kadar kira-kira RM30 dengan kemudahan penempatan jangka pendek sehingga seminggu.

Katanya, pelaksanaan awal program itu dijangka mampu menampung kira-kira 30 warga emas pada satu-satu masa.

Beliau berkata, inisiatif tersebut dirangka bagi menangani cabaran penjagaan yang semakin meningkat apabila lebih ramai isi rumah perlu mengimbangi komitmen kerja dan tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin berusia.

“Pendekatan ini mencerminkan peralihan kepada penjagaan yang lebih fleksibel dan berasaskan komuniti, di mana warga emas digalakkan kekal aktif serta terlibat dalam aktiviti sosial.

“Ia penting bagi memastikan maruah, interaksi sosial dan rasa bermakna dalam kalangan warga emas terus terpelihara,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama