Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan, dakwaan tersebut tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar hasil rundingan antara Malaysia dan Indonesia.
“Tidak betul. Siapa yang kata diserahkan? Itu tidak benar.
“Sebenarnya kita yang mendapat keuntungan dalam perkara ini, namun perkara ini tidak boleh diperincikan secara terbuka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Datuk Abdul Hakim Haji Gulam Hassan, di sini, hari ini.
Menurutnya, perbincangan berkaitan isu sempadan itu melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Perkara ini melibatkan hubungan diplomatik, jadi kita tidak boleh membuat kenyataan secara terbuka, namun apa yang penting Malaysia sebenarnya mendapat manfaat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari mendakwa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini disahkan sebagai milik Indonesia selepas proses penetapan sempadan darat dimuktamadkan.
Menurut laporan itu, penyelesaian berkenaan merupakan hasil diplomasi damai antara Malaysia dan Indonesia sekali gus memperjelaskan garis sempadan rasmi di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, laporan sama turut menyebut pelarasan sempadan itu melibatkan perubahan kecil di pihak Indonesia apabila kira-kira 4.9 hektar kawasan negara itu dimasukkan ke dalam wilayah Malaysia.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sambutan Aidilfitri seperti majlis rumah terbuka menjadi platform penting untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan masyarakat.
