Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaksanaan tersebut merangkumi 83 projek bekalan air luar bandar yang sebelum ini berdepan pelbagai kekangan sejak Rancangan Malaysia ke-11 pada 2016 kini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh beberapa agensi negeri.
“Kabinet bersetuju menyerahkan pelaksanaan projek bekalan air luar bandar kepada kerajaan negeri Sabah, yang akan dikendalikan oleh tiga agensi utama iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Hadir sama, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun serta Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang.
Kata beliau, pelaksanaan projek bekalan air yang akan dilaksanakan di seluruh negeri Sabah itu bermula hari ini.
Menurutya, keputusan tersebut dibuat susulan lawatan pemantauan Perdana Menteri ke Sabah dan Sarawak yang mendapati banyak projek telah diluluskan serta diperuntukkan, namun gagal disiapkan mengikut jadual akibat isu pelaksanaan.
“Antara kekangan dikenal pasti termasuk kelulusan merancang, jajaran baharu, spesifikasi mengikut lokasi, pelantikan jururunding dan kontraktor serta isu teknikal lain yang lebih mudah diselesaikan di peringkat negeri,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri KKDW menegaskan bahawa sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (High Level Committee – HLC) akan ditubuhkan dan mula bermesyuarat seawal minggu hadapan.
“Jawatankuasa itu akan memantau kemajuan projek secara berkala, selain memastikan setiap pelaksanaan mematuhi garis masa yang ditetapkan serta peraturan kewangan sedia ada.
“Keseluruhan peruntukan RM4.06 bilion untuk Sabah itu akan disalurkan mengikut tatakelola semasa dengan penyelarasan bersama antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan,” ujar beliau.
Zahid menambah bahawa langkah ini juga dilihat sebagai usaha mempercepat penyampaian kemudahan asas kepada rakyat luar bandar, khususnya dalam memastikan akses bekalan air bersih yang lebih konsisten dan menyeluruh.
Mengulas berkenaan kesiapsiagaan Sabah dalam melaksanakan projek baharu ini, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri mewujudkan sebanyak 184 jawatan baharu yang melibatkan Jurutera dan Juruteknik.
“Saya dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet bahawa terdapat 184 jawatan baharu yang diwujudkan oleh kerajaan, kebanyakannya melibatkan jurutera dan juruteknik.
“Saya percaya ini merupakan langkah penting dalam menyediakan tenaga kerja mencukupi serta membuka peluang pekerjaan tambahan bagi mempercepat pelaksanaan projek ini,” tambahnya.
