Tiada asas Ketua Menteri upah ‘cybertrooper’ serang kamu, Amy Dangin diberitahu

 

KOTA KINABALU: Tuduhan mengaitkan Ketua Menteri Sabah dengan dakwaan membayar ‘cybertroopers’ untuk menyerang individu tertentu di media sosial disifatkan sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, beliau memandang serius dakwaan yang dilemparkan oleh pempengaruh, Amy Dangin, yang cuba mengaitkan kepimpinan negeri dengan perkara berkenaan.

“Tuduhan ini jelas tidak berasas dan berniat jahat. Hakikatnya, Ketua Menteri sentiasa fokus kepada agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat, dan tidak pernah mengamalkan politik menyerang peribadi mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menafikan dakwaan tular sebelum ini melibatkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang cuba mengaitkan dirinya dengan usaha melemahkan parti politik tertentu.

“Perkara itu juga tidak benar dan merupakan satu lagi cubaan untuk mencetuskan persepsi negatif serta mengeruhkan suasana politik,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Azrul menggesa semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

“Hentikan penyebaran fitnah dan tohmahan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat. Fokus kita seharusnya kepada usaha membangunkan Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera, bukan terperangkap dalam politik kebencian,” tegasnya.

Sementara itu, Amy Dangin menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya mencetuskan perhatian selepas mendakwa individu yang dikaitkan dengan hantaran ancaman ‘Kuruyuk’ itu sudah dikenali serta dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental.

“Seorang kenalan saya memaklumkan bahawa individu yang membuat hantaran ancaman ‘Kuruyuk’ itu memang ada masalah kesihatan sikit, jadi jangan ambil serius.

“Hajiji and your trolls, invest sikit itu duit pergi kasih bagus mental health orang Sabah secara amnya, bukan tabur duit bayar cybertroopers ja,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama