KOTA KINABALU: Pasukan sofbol wanita Sabah menyasarkan kedudukan podium sebagai fokus utama dalam usaha memburu kejayaan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, Ogos ini.
Presiden Livoc Eagle Softball Club, Idham Shukri Ishak berkata, sasaran itu menjadi hala tuju pasukan kali ini dengan pendekatan lebih tersusun berbanding edisi lalu.
“Fokus kami adalah ‘road to podium’, tidak kira warna pingat. Itu sasaran utama pasukan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Penyerahan Tajaan kepada Pasukan Sofbol Wanita Sabah (SUKMA SELANGOR 2026) yang bertempat di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, di sini, hari ini.
Hadir sama pada sesi tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah MSN Sabah, Heirwan Shah Masari mewakili Pengarah MSN Sabah.
Menurutnya, persiapan pasukan pada ketika kini sedang giat dijalankan dengan latihan pusat melibatkan 24 atlet senarai panjang dari seluruh Sabah yang berusia antara 15 hingga 20 tahun.
“Tapi kita buat pemilihan ada tiga sesi kita buat di Sabah sesi pemilihan dan satu di Semenanjung.
“Disebabkan sebenarnya ketua jurulatih kita ni adalah jurulatih SEA Games Malaysia.
“Jadi kita dapat peluang untuk mendapatkan talent Sabahan yang berada di semenanjung.
“Latihan pusat pula bermula pada 13 hari bulan dan akan berakhir pada 22 hari bulan.
“Fasa awal dijalankan di Kompleks Sukan, sebelum diteruskan di SMK Kinarut yang menyediakan kemudahan asrama dan padang untuk pasukan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Idham mengakui pasukan pernah berdepan cabaran apabila persatuan dibatalkan pada 2023, namun mereka bangkit dengan mendapatkan kebenaran khas bagi terus menyertai kejohanan.
Katanya, berbanding SUKMA lalu di Sarawak yang menyaksikan dua pasukan dihantar, kali ini hanya satu pasukan akan bertanding di Selangor berikutan kekangan kos, namun dengan perancangan lebih rapi.
Tambahnya, Guardian Sports & Academy telah menyumbangkan tajaan berjumlah RM20,000 kepada pasukan Sofbol Wanita Sabah.
Sokongan pihak korporat khususnya Guardian Sports & Academy amat membantu dalam memperkukuh persiapan pasukan ke SUKMA.
“Insya-Allah kami lebih bersedia berbanding sebelum ini dan berharap dapat mencapai keputusan terbaik,” tambahnya.
Guardian Sports & Academy merupakan sebuah akademi untuk membangunkan generasi atlet masa depan Malaysia, diyakini bakal membina ekosistem besbol dan sofbol bertaraf dunia pertama di negara yang menggabungkan latihan elit, pendidikan serta kerjasama antarabangsa bagi melahirkan pemain berkualiti dari peringkat akar umbi hingga ke tahap profesional.
