KUDAT: Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan di perairan muara Sungai Kampung Kimihang, dalam satu operasi oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Empat.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata lelaki berkenaan ditahan ketika berada di atas sebuah pumpboat berwarna biru tanpa nombor pendaftaran.
“Kes tersebut diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes ini melibatkan rampasan barang kawalan yang dibawa tanpa sebarang dokumen atau kebenaran sah.
“Antara barangan yang dirampas ialah kira-kira 1,400 liter minyak petrol yang disimpan dalam tujuh tong dram besi, 408 kilogram minyak masak paket serta 168 kilogram gula pasir kasar.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM14,876.80 dan kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,”katanya.
Dalam pada itu, KPDN kekal komited memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak disalahgunakan serta sampai kepada golongan sasaran, khususnya dalam memastikan kestabilan rantaian bekalan dan harga di pasaran.
“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Empat atas kerjasama dan tindakan pantas dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di perairan Kudat.
