PUTRAJAYA: Usaha memuktamadkan formula dan jumlah bayaran 40 peratus hasil Sabah perlu diteruskan secara menyeluruh dan konsisten, namun pada masa sama semua pihak perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara yang berdepan cabaran semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, berkata keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi tidak seharusnya menjejaskan momentum kerja yang sedang berjalan.
Beliau berkata, penangguhan itu sebaliknya memberi ruang tambahan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah untuk memperincikan setiap aspek berkaitan secara lebih teliti, telus dan berintegriti.
Katanya, beliau sudah menggesa Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah supaya meneruskan proses pengiraan, pengesahan data serta rundingan teknikal secara berterusan.
“Keputusan ini memberi ruang masa tambahan kepada kedua-dua pihak untuk memperincikan setiap aspek dengan lebih teliti, telus dan berintegriti.
“Justeru, momentum kerja yang telah dibina tidak wajar dihentikan, sebaliknya perlu diperkukuhkan agar formula pengiraan dan jumlah bayaran yang adil serta tepat dapat dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, proses penentuan itu melibatkan penilaian yang kompleks merangkumi tempoh panjang dari 1974 hingga 2021, selain memerlukan penelitian menyeluruh terhadap data kewangan serta rekod sejarah.
Katanya, pendekatan tersebut selari dengan saranan Perdana Menteri supaya isu 40 peratus berkenaan diselesaikan secara tuntas berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan serta prinsip keadilan kepada Sabah.
Dalam pada itu, Mustapha menegaskan komitmen kerajaan kekal jelas untuk memastikan hak Sabah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berasaskan fakta dan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu bersikap realistik terhadap kedudukan fiskal negara ketika ini yang berdepan tekanan susulan krisis ekonomi global, termasuk kesan konflik di Timur Tengah terhadap harga tenaga dan rantaian bekalan.
“Keutamaan sekarang adalah memastikan kesan krisis dapat diminimumkan dan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Keseimbangan antara menunaikan hak Sabah dan memastikan kestabilan kewangan negara adalah penting bagi menjamin penyelesaian yang mampan serta memberi manfaat jangka panjang,” katanya.
