![]() |
| Poster Himpunan Aman Justice4Sabah. Sumber FB Wilfred Madius Tangau |
KOTA KINABALU: Tempoh 180 hari yang diperuntukkan sebelum ini disifatkan sebagai lebih daripada mencukupi untuk Kerajaan Persekutuan melaksanakan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kegagalan memanfaatkan tempoh tersebut menimbulkan persoalan terhadap kesungguhan dalam menunaikan hak Sabah seperti yang termaktub.
Menurutnya, tempoh enam bulan bukanlah singkat, malah sepatutnya digunakan untuk mencapai penyelesaian muktamad berhubung tuntutan berkenaan.
“180 hari itu bersamaan setengah tahun. Ia lebih daripada cukup, namun kita masih tidak nampak komitmen jelas untuk melaksanakan hak Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengumumkan penganjuran Himpunan Aman Justice4Sabah yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini sebagai tanda solidariti rakyat Sabah.
Himpunan itu bertujuan membantah tindakan penangguhan serta menuntut pelaksanaan penuh bayaran 40 peratus hasil selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Madius turut menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan terus menyuarakan tuntutan secara aman dan berperlembagaan.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya, semalam membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersama Datuk Ismail Brahim dan K Muniandy membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Kerajaan Persekutuan berdepan prejudis sekiranya penangguhan tidak diberikan.
Keputusan tersebut sekali gus menangguhkan pelaksanaan arahan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 yang sebelum ini memutuskan kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah adalah tidak sah serta melampaui kuasa perlembagaan.
Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak melengkapkan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan muktamad dalam tempoh 180 hari susulan semakan kehakiman difailkan Sabah Law Society.
Bagaimanapun, pelaksanaan arahan tersebut kini ditangguhkan tanpa tempoh ditetapkan sementara menunggu keputusan lanjut proses perundangan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan hak Sabah.
