TAWAU :Seorang kontraktor dipenjara sebulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang mencederakan seorang wanita dan anak perempuannya berusia enam tahun, Mac tahun lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Najar, 32, serta memerintahkan hukuman penjara selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang diputuskan secara persetujuan kedua-dua pihak dalam prosiding di mahkamah hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux didakwa memandu secara berbahaya di Jalan Kalabakan–Sepulut, dekat sini, kira-kira jam 4.02 petang pada 27 Mac 2025, dengan cara yang boleh membahayakan orang awam.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh diwakili peguam Rima Pammusu.
Terdahulu, Joan dalam hujahnya berkata berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial jelas menunjukkan tertuduh memandu tanpa mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain apabila memotong di kawasan selekoh sebelum berlaku pertembungan dengan kenderaan mangsa.
Menurutnya, perbuatan tertuduh disifatkan sebagai serius dan bukan sekadar pelanggaran undang-undang, sebaliknya satu kecuaian melampau yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung peningkatan kes kemalangan jalan raya akibat sikap pemandu tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu katanya, pendakwaan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta pengguna jalan raya lain, dengan menegaskan hanya hukuman tegas dapat memberi mesej jelas bahawa undang-undang tidak akan berkompromi terhadap pemanduan berbahaya yang mengancam nyawa orang awam.
Bagaimanapun pihak pembelaan dalam rayuan mitigasinya berkata tertuduh dalam kes ini telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan selain ia adalah kesalahan pertamanya.
Selain itu katanya, sejurus selepas kejadian tertuduh telah bertindak menahan sebuah bas mini bagi memastikan anak-anak mangsa dibawa segera ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan menunggu di lokasi berkenaan sehingga mangsa tiba, menunjukkan tanda penyesalan dan keprihatinan tertuduh terhadap keluarga mangsa.
Tertuduh juga merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi 12 tanggungan termasuk dua isteri, sembilan anak berusia antara enam bulan hingga 14 tahun serta ibu yang telah lanjut usia.
Peguam turut memaklumkan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan sekitar RM5,000 sebulan kini kehilangan pekerjaan akibat insiden tersebut dan hanya memperoleh kira-kira RM2,000 sebulan melalui kerja sambilan dengan bantuan ahli keluarga untuk menyara keluarganya.
Berikutan itu, selain hukuman denda dan penjara Mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa dari tarikh sabitan hari ini.
Berdasarkan fakta kes, kemalangan berlaku di Kilometer 48 Jalan Kalabakan - Sepulut melibatkan sebuah Toyota Hilux yang dipandu tertuduh dan sebuah Perodua Aruz dinaiki seorang lelaki bersama isteri serta empat anak mereka yang berumur antara enam hingga 12 tahun.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV berkenaan, dengan kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka sebuah lori dan tular di media sosial.
Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan serta seorang kanak-kanak mengalami kecederaan parah, manakala tertuduh tidak cedera.
