Tangguh bayaran 40% jejas pembangunan Sabah, rakyat terus tanggung kesan, kata penganalisis

Dr. Syahruddin. 

KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia yang membenarkan penangguhan bayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah dilihat memberi implikasi besar terhadap agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPES), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata tindakan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada kewangan negeri, malah berpotensi melambatkan usaha merapatkan jurang pembangunan yang masih ketara.

“Penangguhan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kewangan negeri, malah turut melambatkan proses pemulihan ekonomi Sabah yang memerlukan suntikan dana besar bagi merapatkan jurang pembangunan.

“Bagi rakyat Sabah, setiap kelewatan bermakna peluang untuk menikmati infrastruktur asas yang lebih baik serta sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien terus tertangguh,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Menurut beliau, dana berkenaan merupakan hak yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 112C dan 112D, sekali gus menjadikan penangguhan itu isu yang melangkaui aspek pentadbiran biasa.

Beliau menjelaskan kegagalan menyalurkan bayaran tersebut boleh menjejaskan pelaksanaan projek penting seperti naik taraf bekalan air, elektrik serta jaringan jalan raya yang sekian lama menjadi keperluan mendesak penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.

“Sabah walaupun kaya dengan sumber semula jadi masih berdepan cabaran kemiskinan, menjadikan bayaran 40 peratus itu sebagai pemangkin utama kepada transformasi ekonomi negeri.

“Rakyat Sabah kini semakin sedar akan hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan dijangka akan terus menuntut ketelusan dalam pelaksanaannya.

“Ketidakpastian mengenai bila bayaran ini akan dilunaskan telah mewujudkan sentimen kekecewaan yang mendalam dalam kalangan rakyat, apatah lagi sumbangan hasil Sabah kepada negara adalah signifikan,” jelasnya.

Tambah beliau, ketidaktentuan dari segi aliran kewangan turut menyukarkan kerajaan negeri merangka perancangan pembangunan jangka panjang yang mampan dan berdaya saing.

Mengulas aspek sosial, Syahruddin berkata kelewatan berterusan dalam isu ini memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, terutama komuniti pedalaman yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas seperti pendidikan dan kesihatan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keadilan kepada Sabah tidak seharusnya tertangguh hanya disebabkan faktor teknikal perundangan.

“Kepentingan rakyat Sabah mesti diutamakan melebihi birokrasi politik bagi memastikan keharmonian Persekutuan terus terpelihara berasaskan prinsip perkongsian hasil yang adil,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau optimis kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan bayaran tersebut dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat dan pembangunan Sabah secara menyeluruh.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama