Pemborong beras disiasat, Sabah perketat audit susulan gangguan bekalan

Jamawi (kiri) serta semua yang hadir mendengar dan berbincang selepas mendengar penerangan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran.


TELUPID: Kerajaan negeri mempergiatkan tindakan pemantauan termasuk melaksanakan audit terhadap pemborong beras yang disyaki terlibat dalam penyelewengan bekalan, susulan gangguan pasaran yang mencetuskan pembelian panik di Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata langkah itu diambil bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan serta mengganggu rantaian bekalan makanan negeri.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan terhadap beberapa pemborong yang didakwa gagal memberi kerjasama termasuk tidak hadir dalam sesi soal siasat pihak berkuasa.

“Ada pemborong yang kita syak terlibat, sebab itu audit dijalankan bagi mendapatkan bukti. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara.

“Kita akan kuat kuasakan tanpa kompromi kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui di ladang padi Trusan Sapi, di sini.

Beliau berkata, gangguan bekalan ketika ini sebahagiannya berpunca daripada kegagalan pemborong mengeluarkan stok yang telah dibayar, termasuk kira-kira 3,000 tan metrik beras yang masih tersimpan di gudang Padiberas Nasional Berhad.

“Pemborong perlu segera menyediakan logistik termasuk lori bagi mengeluarkan stok berkenaan, selain menafikan wujud kenaikan harga kerana subsidi masih kekal,” jelasnya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut meningkatkan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini bagi menstabilkan pasaran dan menampung permintaan pengguna.

Sebagai langkah kawalan tambahan, pembelian turut dihadkan kepada dua kampit beras bagi setiap individu bagi mengelakkan pembelian berlebihan.

Jamawi berkata kerajaan komited memastikan stok simpanan beras negeri mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan, selain memperkukuh penguatkuasaan bagi mengelakkan sebarang manipulasi bekalan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama