Suami maut terbabit kemalangan, tak sempat makan tengah hari

Keadaan motosikal dinaiki pasangan suami isteri yang terbabit kemalangan di Jalan Felda Umas 2, Merotai, semalam. Foto | Ihsan PDRM

TAWAU : Hasrat seorang lelaki untuk pulang menjamah makan tengah hari bersama isterinya tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Felda Umas 2, Merotai, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Basri Patawari, 47, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersama isterinya berusia 40 tahun, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumah mereka di Kampung Felda Umas 2.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Honda Vario yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas mengelak bonggol di hadapan laluannya sebelum bertembung dengan motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit.

"Akibat pertembungan itu, penunggang Honda Vario berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Wad Ortopedik Hospital Tawau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas Jasmin berkata, mangsa turut mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Zon Merah Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun katanya, pada jam 5.30 petang hari sama, pihak polis dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bukan warganegara Malaysia dan tidak mempunyai lesen memandu yang sah selain tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhati-hati serta memperlahankan kenderaan terutama ketika melalui jalan yang rosak bagi mengelakkan hilang kawalan dan kemalangan.

“Penunggang motosikal juga diingatkan supaya sentiasa memakai topi keledar demi keselamatan diri,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama