![]() |
| Masidi (tengah) ketika merasmikan pelancaran sebuah restoran di Bandar Benoni. |
Beliau berkata, kedudukan strategik daerah berkenaan di laluan Lebuhraya Pan Borneo menjadikannya lokasi berpotensi tinggi untuk menerima kunjungan pelawat dan pengguna jalan raya, khususnya dari Brunei dan Sarawak.
“Apabila Pan Borneo siap sepenuhnya kelak, pengguna jalan raya hanya akan mengambil masa yang lebih singkat untuk ke Kota Kinabalu.
“Perancangan rapi serta pelaksanaan pembangunan yang tersusun penting bagi memastikan Papar bukan sahaja menjadi tempat persinggahan, malah berkembang sebagai destinasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran sebuah restoran di Bandar Benoni, yang dilihat sebagai antara pemangkin kepada perkembangan sektor komersial di daerah itu.
Hadir sama ialah ADUN Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim serta wakil-wakil sektor swasta.
Masidi menjelaskan, pembangunan kawasan seperti Bandar Benoni mampu merancakkan aktiviti perniagaan, perkhidmatan dan pelancongan serta peluang pekerjaan.
Katanya, melalui kesiapsiagaan infrastruktur Papar berupaya menawarkan pelbagai fasiliti termasuk pusat komersial, kawasan rehat dan produk pelancongan tempatan yang menarik.
“Pembangunan fasiliti baharu ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru peniaga tempatan, khususnya golongan Bumiputera, agar mengurus kewangan perniagaan secara berhemah bagi memperkukuh kedudukan ekonomi masing-masing.
Beliau turut memuji pembukaan perniagaan baharu di kawasan itu yang bukan sahaja memperluaskan operasi syarikat, malah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
