Mahkamah Rayuan tangguh pelaksanaan semakan 40 peratus hasil Sabah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Kerajaan Persekutuan berdepan prejudis sekiranya penangguhan tidak diberikan.

Turut bersidang ialah Datuk Ismail Brahim dan K Muniandy.

Menurut laporan Berita Harian, keputusan tersebut sekali gus menangguhkan pelaksanaan arahan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang sebelum ini memutuskan Kerajaan Persekutuan telah bertindak menyalahi undang-undang serta melampaui kuasa perlembagaan.

Pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi memutuskan kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh berkenaan adalah tidak sah.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak melengkapkan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan muktamad dalam tempoh 180 hari.

Keputusan itu dibuat susulan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Bagaimanapun, pelaksanaan arahan tersebut kini ditangguhkan sementara menunggu keputusan lanjut proses perundangan.

Perkembangan terbaharu itu turut menimbulkan persepsi dalam kalangan pihak berkepentingan bahawa Kerajaan Persekutuan belum bersedia melaksanakan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah, selain mencetuskan persoalan mengenai komitmen dalam menunaikan tuntutan berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama