Struktur atas rizab jalan Pan Borneo: Kerajaan Negeri beri saguhati tidak lebih RM20,000


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah prihatin apabila bersetuju menyalurkan bayaran saguhati sehingga RM20,000 kepada pemilik struktur atau bangunan yang terjejas dalam pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat bagi meringankan beban rakyat yang terkesan, khususnya mereka yang membina struktur di atas simpanan jalan (road reserve) dan kini berdepan notis perobohan tanpa pampasan.

Menurutnya, berdasarkan polisi semasa Kerajaan Persekutuan, tiada bayaran saguhati atau pampasan diberikan kepada struktur yang dibina di atas rizab jalan bagi projek berkenaan.

Namun katanya, kerajaan negeri tidak berdiam diri dan tampil dengan pendekatan lebih berperikemanusiaan.

“Kerajaan Negeri memutuskan untuk memberi bayaran saguhati (ex-gratia) tidak melebihi RM20,000 bagi setiap struktur atau bangunan kepada mereka yang mempunyai struktur atau bangunan di atas simpanan jalan yang terlibat dalam Pakej 20, Pakej 34 dan Pakej 35 Projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Bayaran saguhati (ex-gratia) ini akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri,” katanya. 

Ucapan penggulungan itu disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, yang mewakili beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela walaupun berdepan kekangan dasar sedia ada.

Katanya, projek Lebuhraya Pan Borneo yang melibatkan Pakej 20 di Lahad Datu serta Pakej 34 dan 35 di Ranau sememangnya memberi impak besar kepada penduduk setempat, termasuk melibatkan struktur kediaman dan bangunan lain.

“Kerajaan memahami kesulitan yang dihadapi penduduk terlibat, justeru bantuan saguhati ini diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan memastikan projek infrastruktur berimpak tinggi itu disiapkan mengikut jadual bagi mengelakkan peningkatan kos serta kerugian kepada rakyat.

“Sebarang kelewatan akan memberi implikasi negatif kepada kos pelaksanaan dan akhirnya membebankan kerajaan serta rakyat,” katanya.

Terdahulu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri membangkitkan isu berkaitan struktur yang terletak di atas rizab jalan serta kebimbangan penduduk yang terjejas tanpa sebarang pampasan.

Keputusan kerajaan negeri itu dilihat sebagai jalan tengah yang bukan sahaja mematuhi dasar sedia ada, malah tetap menjaga kebajikan rakyat Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama