Biasiswa Sabah melonjak dari RM55 juta ke RM145 juta, 70% pelajar dalam STEM


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meningkatkan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) secara drastik daripada RM55 juta kepada RM145 juta sebagai usaha memperkasa pembangunan modal insan negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peningkatan peruntukan berkenaan membolehkan lebih ramai pelajar Sabah melanjutkan pengajian, khususnya dalam bidang kritikal yang diperlukan industri.

Menurutnya, sejak 2023, seramai antara 4,000 hingga 5,000 pelajar baharu ditaja setiap tahun melalui BKNS.

“Penawaran biasiswa ini diselaraskan dengan keperluan tenaga kerja dan industri tempatan melalui libat urus bersama kementerian serta agensi berkaitan,” katanya.

Ucapan penggulungan itu disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, yang mewakili beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, tumpuan pemberian biasiswa kini lebih terarah kepada bidang berimpak tinggi seperti teknikal, kejuruteraan, perubatan dan pendidikan.

"Malah, kira-kira 70 peratus penerima BKNS mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sejajar keperluan pembangunan ekonomi negeri.

“Fokus kepada bidang STEM amat penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing, sekali gus menyokong pertumbuhan industri di Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 17,088 pelajar menerima manfaat BKNS sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap akses pendidikan.

Katanya, langkah memperkukuh peruntukan biasiswa itu adalah antara strategi utama kerajaan bagi memastikan Sabah tidak ketandusan bakat tempatan berkemahiran tinggi pada masa depan.

“Pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan jangka panjang untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama