Kerajaan negeri perkenal skim SERI bantu rakyat Sabah miliki rumah pertama


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan memperkenalkan Skim Subsidi Pembeli Rumah Pertama Kali (SERI) bagi membantu rakyat Sabah, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah, memiliki kediaman sendiri.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, skim khas itu merupakan idea Ketua Menteri sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam sektor perumahan.

“Pembeli rumah yang layak akan menerima subsidi, dengan kadar bantuan akan dimuktamadkan dan diumumkan kemudian,” katanya dalam sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, pelaksanaan skim SERI bertujuan memperluaskan kadar pemilikan rumah dalam kalangan penduduk negeri ini selain meringankan beban kewangan pembeli. 

“Pada masa sama, inisiatif ini dijangka dapat merangsang pertumbuhan sektor perumahan di Sabah secara lebih mampan dan inklusif,” jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri komited memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki rumah sendiri melalui pelbagai pendekatan dan inisiatif yang sedang dirangka.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama