KENINGAU: Inisiatif komuniti Slices of Care anjuran Kolej
Vokasional (KV) Keningau membuka peluang kepada wanita setempat menjana
pendapatan melalui kemahiran bakeri.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, berkata program
berkenaan memberi nilai tambah kepada peserta untuk berdikari melalui
perniagaan kecil.
“Latihan ini melengkapkan peserta dengan kemahiran teknikal
seterusnya membuka ruang menjana pendapatan secara berterusan.
"Ini membuktikan pendidikan vokasional mampu melahirkan
individu yang berkemahiran dan berupaya menyumbang kepada pembangunan
masyarakat.
"Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan pendekatan
pembelajaran di kolej vokasional yang menekankan aspek teknikal, nilai
keusahawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar," katanya
ketika ditemui media baru-baru ini.
Sementara itu, tenaga pengajar industri, Haryati Azmi @
Egang berkata peserta juga didedahkan kepada aspek asas perniagaan termasuk
penghasilan produk dan strategi jualan.
Program tersebut digerakkan pelajar dan guru KV Keningau
sebagai projek komuniti dengan pasar jualan lebih besar dijadualkan 20 Mei
depan susulan sambutan menggalakkan.
Slices of Care, yang menerima geran CHANGE dan tersenarai
antara tujuh projek terbaik negara, berlangsung tiga hari bermula 11 April lalu
menawarkan latihan bakeri serta keusahawanan dengan dana RM3,000.
