Perarakan Budaya Julung Kali Warnai Hari Etnik Sabah 6.0

 

KOTA KINABALU : Perarakan Budaya yang julung kali diadakan menjadi keistimewaan sambutan Hari Etnik Sabah 6.0 pada 25 April ini.

Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apisan berkata, perarakan ini melibatkan 560 peserta serta 182 presiden persatuan etnik dan badan kebudayaan yang mewakili 35 etnik besar di Sabah.

“Perarakan ini akan bermula pada jam 4 petang dari Dataran Deasoka menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dengan jarak kira-kira 2.3 kilometer,” katanya.

Penganjuran Hari Etnik Sabah 6.0 ini bakal menjadi platform memperkukuh perpaduan serta memartabatkan kepelbagaian budaya masyarakat di negeri ini.

“Setiap etnik bertanggungjawab memelihara budaya masing-masing agar tidak hilang ditelan arus kemodenan.

“Oleh itu, orang ramai dijemput hadir dengan mengenakan pakaian etnik masing-masing bagi memeriahkan program ini sebagai sokongan terhadap usaha memartabatkan budaya negeri,” ujarnya lagi.

Program anjuran LKNS ini diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama