LAHAD DATU: Cubaan menyeleweng kira-kira 10,000 liter minyak diesel dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam Op Tiris, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, rampasan itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan di kawasan Jalan Paris 3, Kinabatangan.
Menurutnya, sepasukan anggota PPM menahan sebuah lori tangki minyak diesel jenis Nissan yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan tidak mempunyai sebarang pelekat depot sah, manakala tangki mengandungi kira-kira 10,000 liter minyak diesel.
“Pemandu lori juga gagal mengemukakan sebarang dokumen penghantaran bagi mengesahkan destinasi bahan api tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan, manakala lori bersama muatan diesel turut dirampas.
“Minyak diesel itu disyaki cuba diseleweng sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya.
Ahmad Amri berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM51,200.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.
“PPM Wilayah 4 Sabah komited memastikan ketirisan dapat dibendung demi menjaga kepentingan negara,” katanya.
