Skim tanah Nabawan diberi nafas baharu selepas hampir 60 tahun

Jamawi bersalaman dan menyantuni penduduk kampung ketika memasuki dewan.

NABAWAN: Isu berlarutan hampir enam dekad membabitkan skim penempatan tanah di daerah ini kini diberi perhatian serius apabila jawatankuasa pembangunan diaktifkan semula bagi mempercepat penyelesaiannya.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar berkata, keputusan itu dicapai hasil sesi dialog bersama penduduk yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, pada Selasa.

Menurutnya, skim berkenaan yang telah wujud sejak kira-kira 58 tahun lalu dan digazetkan seawal 1958 masih berdepan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemilikan tanah, pembangunan kawasan serta hak penduduk.

“Susulan soalan lisan ADUN Nabawan dalam sidang DUN lalu, kawasan ini perlu diberi perhatian termasuk menunaikan janji pemberian geran tanah,” katanya.

Hadir sama ADUN Nabawan; Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; mantan ADUN Nabawan, Senator Datuk Bobbey Suan; Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ts. Jifrin Hj. Mohamad; Pegawai - pegawai dari Jabatan Tanah Dan Ukur. 

Beliau berkata, ramai penduduk yang dipindahkan sejak 1960-an masih belum menerima hak sepenuhnya, sekali gus memerlukan tindakan segera dan menyeluruh.

Sehubungan itu, jawatankuasa pembangunan skim Nabawan yang sebelum ini ditubuhkan diaktifkan semula, dipengerusikan Pegawai Daerah serta diselaraskan bersama kepimpinan tempatan.

Katanya, jawatankuasa berkenaan akan mengumpul cadangan dan memorandum daripada masyarakat sebelum dikemukakan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.

“Di pihak kementerian, kita akan membantu sebaik mungkin berdasarkan cadangan daripada daerah, pemimpin tempatan dan masyarakat kampung,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian terhadap tanah yang telah digazetkan tetapi masih belum dibangunkan termasuk kawasan dikenal pasti sebagai tanah KPD.

Jamawi berkata, pembangunan kawasan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan ekonomi setempat, malah membuka peluang pekerjaan kepada generasi seterusnya di Nabawan.

Menurutnya, usaha itu juga selari dengan hasrat meningkatkan keterjaminan makanan negeri melalui pengeluaran komoditi seperti padi dan jagung.

“Ketika ini tahap sara diri bagi jagung hanya sekitar dua peratus, jadi kita memerlukan lebih banyak tanah untuk dibangunkan,” ujarnya. 

Beliau yakin Nabawan mempunyai potensi besar untuk menjadi kawasan pertanian berskala besar, sekali gus menyumbang kepada bekalan makanan negeri.

Tambahnya, pendekatan mekanisasi menggunakan teknologi moden juga akan diperluaskan bagi meningkatkan produktiviti serta menarik minat golongan muda menceburi sektor pertanian.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara kementerian, kepimpinan tempatan dan masyarakat dapat mempercepat pembangunan serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar di daerah berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama