Muzium hidup di KDCA angkat warisan Kadazan Dusun

PENAMPANG: Pendekatan baharu dalam usaha memelihara warisan budaya diketengahkan apabila Kadazandusun Cultural Association (KDCA) memperkenalkan konsep muzium interaktif atau ‘muzium hidup’ yang bukan sekadar mempamerkan sejarah, malah menghidupkan kisah komuniti merentas generasi.

Pengerusi Majlis Wanita Pertubuhan Kadazandusun Murut Malaysia (KDCA), Datuk Joanna Datuk Kitingan berkata, inisiatif itu bukan hanya menghimpunkan artifak lama, sebaliknya menjadi platform dinamik yang menggabungkan penyelidikan, penceritaan komuniti serta pendekatan digital.

Katanya, fokus utama adalah mendokumentasikan sejarah kematangan, legasi dan khazanah budaya Kadazan Dusun yang sebahagiannya masih belum didigitalkan atau tersedia di platform dalam talian.

“Banyak sumber penting terdapat dalam arkib, muzium dan buku lama yang belum didigitalkan. 

"Justeru, kita jalankan penyelidikan sahih sambil mengajak komuniti untuk turut menyumbang bahan kepada muzium dan perpustakaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Muzium dan Perpustakaan Koisaan di sini, semalam.

Menurutnya, konsep ‘muzium hidup’ yang diketengahkan memberi kelainan kerana pamerannya tidak statik, sebaliknya sentiasa berubah mengikut tema seperti kostum tradisional, makanan, motif dan amalan budaya.

“Ini bukan sekadar ruang pameran biasa. Kita mahu pengunjung bukan hanya melihat, tetapi turut berkongsi cerita sama ada generasi lama mahupun muda dan semuanya akan direkodkan termasuk secara digital,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan KDCA sebagai lokasi muzium berkenaan bertujuan memberi tumpuan lebih khusus kepada komuniti Kadazan Dusun berbanding muzium umum yang merangkumi keseluruhan warisan Sabah.

“Walaupun skopnya kecil dari segi fizikal, namun signifikan dari segi makna kerana kita dapat memberi perhatian lebih terperinci terhadap identiti dan budaya komuniti sendiri,” katanya.

Katanya, kerjasama dengan pelbagai institusi termasuk muzium lain turut dilaksanakan bagi memperkukuh penyelidikan serta memastikan khazanah budaya dipelihara secara sistematik dan selamat.

"Usaha itu penting bagi memastikan warisan berkenaan terus terpelihara walaupun berlaku sebarang risiko di satu-satu lokasi," katanya. 

Beliau berharap muzium dan perpustakaan berkenaan mampu menjadi simbol perpaduan serta ruang pembelajaran inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

“Kita mahu orang datang, belajar dan memahami betapa unik serta kayanya budaya kita, selain menggalakkan generasi muda menghargai serta memelihara sejarah mereka,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama