KENINGAU: Seorang lelaki tempatan yang sebelum ini sering tular di media sosial ditahan polis dalam satu operasi Ops Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.39 petang itu, suspek berumur 40 tahun ditahan di belakang bangunan UPLUS 4, Jalan Masjid, Pekan Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata, lelaki terbabit turut dikaitkan dengan beberapa insiden yang menimbulkan kekacauan serta keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis telah menemui dan merampas satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.15 gram dengan anggaran nilai RM30,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, pihak polis khususnya BSJN IPD Keningau akan terus mempergiatkan operasi secara agresif dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah Keningau sentiasa terpelihara,” tambahnya.
