SK Simpangan dipindah ke lokasi baru lebih selamat, atasi isu banjir

James ketika melawat tapak pembinaan sekolah sementara SK Simpangan di Pekan Tamu Mingguan Pekan Paitan, pada Sabtu. 


PAITAN: Isu banjir berpanjangan yang menjejaskan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan dijangka selesai dengan pemindahan ke tapak baharu yang lebih selamat.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib memaklumkan bahawa kawasan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Kampung Simpangan telah dikenal pasti sebagai tapak sesuai bagi pembinaan sekolah tersebut.

Menurut beliau, cadangan pemindahan dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan serta kepentingan jangka panjang murid dan warga sekolah yang selama ini terdedah kepada risiko banjir di tapak sedia ada.

“SK Simpangan wajar dipindahkan ke kawasan lebih tinggi berhampiran Kampung Simpangan di tapak KPD yang dicadangkan oleh JKKK, memandangkan lokasi asalnya terlalu rendah dan berhampiran sungai.

“Dalam masa sama, tapak asal sekolah di pekan Paitan dicadangkan untuk dijadikan sebagai SK Pekan Paitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pembinaan sekolah sementara SK Simpangan di Pekan Tamu Mingguan Pekan Paitan, pada Sabtu.

Tambah beliau, proses pemindahan itu akan melibatkan pewartaan tanah sebelum dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur, seterusnya dibawa ke peringkat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk kelulusan.

Sementara itu, bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terganggu, penempatan sementara akan disediakan di Dewan Terbuka SMK Simpangan dengan pemasangan sekatan yang bersesuaian.

“Langkah ini penting supaya murid terus dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang selesa sementara menunggu sekolah baharu siap dibina,” jelasnya.

Beliau turut mengunjungi SMK Simpangan dan menerima taklimat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengenai perkembangan pendidikan di kawasan tersebut.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama